Berteman Bersama :)

04 March 2013

Jika Hati Kamu Lembut, Menangislah..






Sahabat..

Apa salahnya menangis, jika memang dengan menangis itu membuatkan manusia menjadi sedar. Sedar akan kelemahan-kelemahan diri,  di saat tiada lagi yang sanggup menolong dari kesusahan selain Allah Swt. Kesedaran yang membawa kepada manfaat dunia dan akhirat.
Bukankah hati manusia tidak pernah stabil? Selalu berbolak -balik menurut keadaan yang dilalui.
Apabila seseorang menghadapi kebahagiaan, maka hatinya akan gembira. Dan saat dilanda musibah, banyak orang yang berputus asa lalu berpaling dari kebenaran.


Sebahagian orang menganggap menangis itu adalah sesuatu yang hina, ia merupakan tanda lemahnya seseorang. Bangsa Yahudi selalu marah apabila anaknya menangis kerana dikatakan tidak akan mampu melawan musuh-musuhnya. Orang Jepun akan memarahi anaknya jika mereka menangis kerana dianggap tidak tabah menghadapi hidup. Menangis adalah sesuatu yang hanya dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai prinsip hidup.Bagi seorang muslim yang mukmin, menangis merupakan sebuah kelembutan hati dan petanda kepekaan jiwanya terhadap peristiwa yang menimpa dirinya mahupun persekitaran di sekelilingnya. 







Rasulullah S.A.W menitiskan air matanya ketika anaknya Ibrahim, meninggal. Abu Bakar selalu digelarkan oleh anaknya Aisyah  sebagai Rajulun Bakiy (Orang yang selalu menangis).
Beliau sentiasa menangis, dadanya bergolak semasa solat di belakang Rasulullah S.A.W kerana mendengar ayat-ayat Allah. Abdullah bin Umar pada suatu ketika melewati sebuah rumah yang di dalamnya ada seseorang sedang membaca Al Qur’an. Ketika sampai pada ayat: 

“Hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam” (QS. Al Muthaffifin: 6) 

 Pada saat itu beliau diam, berdiri tegak dan merasakan dirinya seakan-akan sedang menghadap Tuhan, kemudian beliau menangis.
Lihatlah betapa Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya benar-benar memahami dan merasakan getaran-getaran keimanan dalam jiwa mereka. Lembutnya hati meletakkan mereka pada darjat hamba Allah yang peka.Bukankah di antara tujuh golongan manusia yang akan mendapatkan naungan pada hari dimana tiada naungan kecuali naungan Allah, adalah orang yang berdoa kepada Rabbnya dalam bersendirian sambil menitiskan air mata? Tentunya begitu sukar menitiskan air mata sewaktu berdoa jika hati seseorang itu tidak lembut.Seorang mukmin sejati akan menangis dalam bersendiri tatkala  berdoa kepada Tuhannya. Sedar betapa beratnya tugas hidup yang harus dipikulnya di dunia ini.






Di zaman ketika manusia lalai dalam gemerlapan  dunia, seorang mukmin akan  sentiasa menjaga diri dan hatinya. Menjaga kelembutan dan kepekaan jiwanya. Dia akan mudah menitiskan air mata demi melihat kehancuran saudara seagamanya. Sebagai contoh, keperitan yang dihadapi oleh saudara seakidah kita di bumi Syria dan seangkatan dengannya. Kesedihannya begitu mendalam. Barangkali kita tidak bisa merasai sakitnya mereka saat ini demi memperjuangkan maruah agama, jauh sekali merasai peritnya hidup bertemankan jutaan peluru. Kerana apa? Kerana kita tidak menghayati penderitaan mereka dengan hati yang begitu tulus jauh sekali hendak menitiskan airmata. 

Ayuh sahabat!! Kita renung kembali, sejauh manakah kita bawa hati kita tatkala menelusuri kehidupan saudara-mara kita dibumi Syria dan seangkatan dengannya. Jika hati itu lembut, menangislah penuh doa untuk mereka.

Kita juga tidak akan melihat seorang mukmin bersenang-senang dan bersuka ria ketika jirannya mengalami kesedihan, ditimpa berbagai ujian, cubaan, dan fitnah. Mukmin yang sebenar akan dengan bersedia membantu meringankan segala beban saudaranya. Ketika seorang mukmin tidak mampu menolong dengan tenaga ataupun harta, dia akan berdoa memohon kepada Tuhan semesta alam.


Menangis merupakan sebuah bentuk pengakuan terhadap kebenaran.


 “Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada rasul (Muhammad), kamu lihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri) seraya berkata: “Ya Rabb kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad)”. (QS. Al Maidah: 83).


Ja’far bin Abdul Muthalib membacakan surat Maryam ayat ke-16 hingga 22 kepada seorang raja Nasrani yang bijak. Mendengar ayat-ayat Allah dibacakan, bercucuranlah air mata raja Habsyah itu. Dia mengakui benarnya kisah Maryam dalam ayat tersebut, dia telah mengenal kebenaran itu dan hatinya yang lembut menyebabkan matanya sembab kemudian menangis. Raja yang rindu akan kebenaran benar-benar merasakannya.




Orang yang keras hatinya, akan sulit menangis m,apabila dibacakan ayat-ayat Allah. Bahkan ketika datang teguran dari Allah sekalipun, dia akan tertawa atau malah berpaling dari kebenaran. Sehebat manapun bentuk penghormatan seorang tokoh munafik Abdullah bin Ubay bin Salul kepada Rasulullah Saw, sedikit pun tidak berpengaruh pada hatinya. Dia tidak peduli ketika Allah Swt mengecam keadaan mereka di akhirat nanti.

 “Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan neraka yang paling bawah. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapatkan seorang penolongpun bagi mereka”. (QS. An Nisa’: 145)

Barangkali di antara kita yang belum pernah menangis, maka menangislah disaat membaca Al Qur’an, menangislah ketika berdoa di sepertiga malam terakhir, menangislah kerana melihat keadaan umat yang hancur, atau tangisilah dirimu kerana tidak dapat menangis ketika mendengar ayat-ayat Allah.


3 comments:

  1. Subhanallah...syukran teman memperingatkan diri ini.. Terisi jiwa ini membaca pena awk.. :)

    ReplyDelete
  2. Shoutul Haq: syukran habibty..muhasabah bsama..m0ga kita sntiasa dlm rahmatNYA Yang Esa..

    ReplyDelete
  3. nak menangis dlm dakapan syue boleh? :'(

    ReplyDelete